Surah ke-78 daripada 114 · Makkiyyah

Surah An-Naba' (Berita Besar)

سُورَةُ النَّبَإِ
40 ayat

Terjemahan makna: Abdullah Basumayyah, QuranEnc.com, edisi tidak tersenarai, diambil pada 2026-10-19. Terjemahan menyampaikan makna Al-Quran. Al-Quran itu sendiri ialah teks dalam bahasa Arab.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
1
عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ
Tentang apakah mereka bertanya-tanya?
Pautan 78:1
2
عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلْعَظِيمِ
Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).
Pautan 78:2
3
ٱلَّذِى هُمْ فِيهِ مُخْتَلِفُونَ
Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.
Pautan 78:3
4
كَلَّا سَيَعْلَمُونَ
Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).
Pautan 78:4
5
ثُمَّ كَلَّا سَيَعْلَمُونَ
Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).
Pautan 78:5
6
أَلَمْ نَجْعَلِ ٱلْأَرْضَ مِهَـٰدًۭا
(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?
Pautan 78:6
7
وَٱلْجِبَالَ أَوْتَادًۭا
Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?
Pautan 78:7
8
وَخَلَقْنَـٰكُمْ أَزْوَٰجًۭا
Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?
Pautan 78:8
9
وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًۭا
Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?
Pautan 78:9
10
وَجَعَلْنَا ٱلَّيْلَ لِبَاسًۭا
Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?
Pautan 78:10
11
وَجَعَلْنَا ٱلنَّهَارَ مَعَاشًۭا
Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?
Pautan 78:11
12
وَبَنَيْنَا فَوْقَكُمْ سَبْعًۭا شِدَادًۭا
Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?
Pautan 78:12
13
وَجَعَلْنَا سِرَاجًۭا وَهَّاجًۭا
Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?
Pautan 78:13
14
وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلْمُعْصِرَٰتِ مَآءًۭ ثَجَّاجًۭا
Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, -
Pautan 78:14
15
لِّنُخْرِجَ بِهِۦ حَبًّۭا وَنَبَاتًۭا
Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, -
Pautan 78:15
16
وَجَنَّـٰتٍ أَلْفَافًا
Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?
Pautan 78:16
17
إِنَّ يَوْمَ ٱلْفَصْلِ كَانَ مِيقَـٰتًۭا
Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan,
Pautan 78:17
18
يَوْمَ يُنفَخُ فِى ٱلصُّورِ فَتَأْتُونَ أَفْوَاجًۭا
Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);
Pautan 78:18
19
وَفُتِحَتِ ٱلسَّمَآءُ فَكَانَتْ أَبْوَٰبًۭا
Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas,
Pautan 78:19
20
وَسُيِّرَتِ ٱلْجِبَالُ فَكَانَتْ سَرَابًا
Dan gunung-ganang - setelah dihancurkan - diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.
Pautan 78:20
21
إِنَّ جَهَنَّمَ كَانَتْ مِرْصَادًۭا
Sesungguhnya neraka Jahannam adalah disediakan -
Pautan 78:21
22
لِّلطَّـٰغِينَ مَـَٔابًۭا
Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya.
Pautan 78:22
23
لَّـٰبِثِينَ فِيهَآ أَحْقَابًۭا
Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya.
Pautan 78:23
24
لَّا يَذُوقُونَ فِيهَا بَرْدًۭا وَلَا شَرَابًا
Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman -
Pautan 78:24
25
إِلَّا حَمِيمًۭا وَغَسَّاقًۭا
Kecuali air panas yang menggelegak, dan air danur yang mengalir, -
Pautan 78:25
26
جَزَآءًۭ وِفَاقًا
Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).
Pautan 78:26
27
إِنَّهُمْ كَانُوا۟ لَا يَرْجُونَ حِسَابًۭا
Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal,
Pautan 78:27
28
وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا كِذَّابًۭا
Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami;
Pautan 78:28
29
وَكُلَّ شَىْءٍ أَحْصَيْنَـٰهُ كِتَـٰبًۭا
Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis.
Pautan 78:29
30
فَذُوقُوا۟ فَلَن نَّزِيدَكُمْ إِلَّا عَذَابًا
(Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.
Pautan 78:30
31
إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.
Pautan 78:31
32
حَدَآئِقَ وَأَعْنَـٰبًۭا
(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;
Pautan 78:32
33
وَكَوَاعِبَ أَتْرَابًۭا
Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya;
Pautan 78:33
34
وَكَأْسًۭا دِهَاقًۭا
Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman;
Pautan 78:34
35
لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًۭا وَلَا كِذَّٰبًۭا
Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta;
Pautan 78:35
36
جَزَآءًۭ مِّن رَّبِّكَ عَطَآءً حِسَابًۭا
Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya),
Pautan 78:36
37
رَّبِّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ٱلرَّحْمَـٰنِ ۖ لَا يَمْلِكُونَ مِنْهُ خِطَابًۭا
Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);
Pautan 78:37
38
يَوْمَ يَقُومُ ٱلرُّوحُ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ صَفًّۭا ۖ لَّا يَتَكَلَّمُونَ إِلَّا مَنْ أَذِنَ لَهُ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَقَالَ صَوَابًۭا
(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.
Pautan 78:38
39
ذَٰلِكَ ٱلْيَوْمُ ٱلْحَقُّ ۖ فَمَن شَآءَ ٱتَّخَذَ إِلَىٰ رَبِّهِۦ مَـَٔابًا
Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!
Pautan 78:39
40
إِنَّآ أَنذَرْنَـٰكُمْ عَذَابًۭا قَرِيبًۭا يَوْمَ يَنظُرُ ٱلْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ ٱلْكَافِرُ يَـٰلَيْتَنِى كُنتُ تُرَٰبًۢا
Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”.
Pautan 78:40

Baca dan dengar setiap hari dalam aplikasi Niyat, bersama waktu solat, arah kiblat dan bacaan terakhir anda disimpan.

Dapatkan Niyat percuma