Surah ke-74 daripada 114 · Makkiyyah

Surah Al-Muddaththir (Orang yang Berkelubung)

سُورَةُ المُدَّثِّرِ
56 ayat

Terjemahan makna: Abdullah Basumayyah, QuranEnc.com, edisi tidak tersenarai, diambil pada 2026-10-19. Terjemahan menyampaikan makna Al-Quran. Al-Quran itu sendiri ialah teks dalam bahasa Arab.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
1
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُدَّثِّرُ
Wahai orang yang berselimut!
Pautan 74:1
2
قُمْ فَأَنذِرْ
Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
Pautan 74:2
3
وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ
Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
Pautan 74:3
4
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
Pautan 74:4
5
وَٱلرُّجْزَ فَٱهْجُرْ
Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
Pautan 74:5
6
وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ
Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
Pautan 74:6
7
وَلِرَبِّكَ فَٱصْبِرْ
Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!
Pautan 74:7
8
فَإِذَا نُقِرَ فِى ٱلنَّاقُورِ
Kerana apabila telah ditiup sangkakala,
Pautan 74:8
9
فَذَٰلِكَ يَوْمَئِذٍۢ يَوْمٌ عَسِيرٌ
Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar -
Pautan 74:9
10
عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ غَيْرُ يَسِيرٍۢ
Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya).
Pautan 74:10
11
ذَرْنِى وَمَنْ خَلَقْتُ وَحِيدًۭا
(Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak),
Pautan 74:11
12
وَجَعَلْتُ لَهُۥ مَالًۭا مَّمْدُودًۭا
Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,
Pautan 74:12
13
وَبَنِينَ شُهُودًۭا
Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.
Pautan 74:13
14
وَمَهَّدتُّ لَهُۥ تَمْهِيدًۭا
Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya.
Pautan 74:14
15
ثُمَّ يَطْمَعُ أَنْ أَزِيدَ
Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;
Pautan 74:15
16
كَلَّآ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ لِـَٔايَـٰتِنَا عَنِيدًۭا
Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).
Pautan 74:16
17
سَأُرْهِقُهُۥ صَعُودًا
Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya.
Pautan 74:17
18
إِنَّهُۥ فَكَّرَ وَقَدَّرَ
Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) -
Pautan 74:18
19
فَقُتِلَ كَيْفَ قَدَّرَ
Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?
Pautan 74:19
20
ثُمَّ قُتِلَ كَيْفَ قَدَّرَ
Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?
Pautan 74:20
21
ثُمَّ نَظَرَ
Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal);
Pautan 74:21
22
ثُمَّ عَبَسَ وَبَسَرَ
Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut;
Pautan 74:22
23
ثُمَّ أَدْبَرَ وَٱسْتَكْبَرَ
Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,
Pautan 74:23
24
فَقَالَ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌۭ يُؤْثَرُ
Serta ia berkata: “(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);
Pautan 74:24
25
إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا قَوْلُ ٱلْبَشَرِ
“Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!”
Pautan 74:25
26
سَأُصْلِيهِ سَقَرَ
(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar.
Pautan 74:26
27
وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا سَقَرُ
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu?
Pautan 74:27
28
لَا تُبْقِى وَلَا تَذَرُ
Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus)
Pautan 74:28
29
لَوَّاحَةٌۭ لِّلْبَشَرِ
Ia terus-menerus membakar kulit manusia!
Pautan 74:29
30
عَلَيْهَا تِسْعَةَ عَشَرَ
Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).
Pautan 74:30
31
وَمَا جَعَلْنَآ أَصْحَـٰبَ ٱلنَّارِ إِلَّا مَلَـٰٓئِكَةًۭ ۙ وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةًۭ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِيَسْتَيْقِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ وَيَزْدَادَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِيمَـٰنًۭا ۙ وَلَا يَرْتَابَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۙ وَلِيَقُولَ ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌۭ وَٱلْكَـٰفِرُونَ مَاذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِهَـٰذَا مَثَلًۭا ۚ كَذَٰلِكَ يُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ ۚ وَمَا هِىَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْبَشَرِ
Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.
Pautan 74:31
32
كَلَّا وَٱلْقَمَرِ
Sebenarnya! Demi bulan,
Pautan 74:32
33
وَٱلَّيْلِ إِذْ أَدْبَرَ
Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,
Pautan 74:33
34
وَٱلصُّبْحِ إِذَآ أَسْفَرَ
Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,
Pautan 74:34
35
إِنَّهَا لَإِحْدَى ٱلْكُبَرِ
Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,
Pautan 74:35
36
نَذِيرًۭا لِّلْبَشَرِ
Yang menjadi amaran bagi umat manusia,
Pautan 74:36
37
لِمَن شَآءَ مِنكُمْ أَن يَتَقَدَّمَ أَوْ يَتَأَخَّرَ
(Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).
Pautan 74:37
38
كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,
Pautan 74:38
39
إِلَّآ أَصْحَـٰبَ ٱلْيَمِينِ
Kecuali puak Kanan,
Pautan 74:39
40
فِى جَنَّـٰتٍۢ يَتَسَآءَلُونَ
(Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,
Pautan 74:40
41
عَنِ ٱلْمُجْرِمِينَ
Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,
Pautan 74:41
42
مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”
Pautan 74:42
43
قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;
Pautan 74:43
44
وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ ٱلْمِسْكِينَ
“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;
Pautan 74:44
45
وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ ٱلْخَآئِضِينَ
“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;
Pautan 74:45
46
وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ ٱلدِّينِ
“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,
Pautan 74:46
47
حَتَّىٰٓ أَتَىٰنَا ٱلْيَقِينُ
“Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini”.
Pautan 74:47
48
فَمَا تَنفَعُهُمْ شَفَـٰعَةُ ٱلشَّـٰفِعِينَ
Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.
Pautan 74:48
49
فَمَا لَهُمْ عَنِ ٱلتَّذْكِرَةِ مُعْرِضِينَ
(Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran)?
Pautan 74:49
50
كَأَنَّهُمْ حُمُرٌۭ مُّسْتَنفِرَةٌۭ
Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari,
Pautan 74:50
51
فَرَّتْ مِن قَسْوَرَةٍۭ
Melarikan diri (ketakutan) dari singa!
Pautan 74:51
52
بَلْ يُرِيدُ كُلُّ ٱمْرِئٍۢ مِّنْهُمْ أَن يُؤْتَىٰ صُحُفًۭا مُّنَشَّرَةًۭ
(Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka (yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri).
Pautan 74:52
53
كَلَّا ۖ بَل لَّا يَخَافُونَ ٱلْـَٔاخِرَةَ
Sebenarnya! (Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak takut akan hari akhirat.
Pautan 74:53
54
كَلَّآ إِنَّهُۥ تَذْكِرَةٌۭ
Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya);
Pautan 74:54
55
فَمَن شَآءَ ذَكَرَهُۥ
Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya.
Pautan 74:55
56
وَمَا يَذْكُرُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ هُوَ أَهْلُ ٱلتَّقْوَىٰ وَأَهْلُ ٱلْمَغْفِرَةِ
Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dia lah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya, dan Dia lah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).
Pautan 74:56

Baca dan dengar setiap hari dalam aplikasi Niyat, bersama waktu solat, arah kiblat dan bacaan terakhir anda disimpan.

Dapatkan Niyat percuma